Himpunan Hijau Raub 2 September : selepas oren dan bersih berlanjutan protes jalanan dan kini Himpunan Hijau Raub 2 September.
Berikut adalah petikan yang diambil dari sebuah akhbar Politik.
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat merancang mengadakan satu lagi himpunan besar-besaran difahamkan bertujuan membantah penggunaan bahan kimia berbahaya akan diadakan pada 2 September jam 2 petang, di Dataran Raub, Pahang.
Himpunan ini dinamakan sebagai Himpunan Hijau Raub dan penganjur memberitahu tujuan ianya diadakan adalah bagi menuntut kehidupan yang lebih sihat dengan menghentikan proses perlombongan emas yang menggunakan cyanide.
Menurut sumber, sasaran Perhimpunan Hijau ini adalah 20,000 penyertaan dari seluruh negara yang akan direalisasikan bersama NGO-NGO lain, beserta Pakatan Rakyat.
Zulkefly Mohamad Omar (Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat), berkata PAS akan mengerahkan ahli-ahlinya untuk menyertai himpunan ini, khususnya di Pahang.
Tambahnya lagi, PAS sememangnya menyokong sebarang usaha menonjolkan tuntutan rakyat, lebih-lebih lagi hak rakyat untuk mendapatkan kesihatan yang baik tanpa kimia.
“Sangat banyak isu alam sekitar berlaku di Pahang. Di Kuantan dengan isu Lynas, perkara sama juga di Cameron Highland. Isu ini bukan hanya isu Pahang tetapi seluruh negara. Jika rakyat tidak bersatu bersama kami, ia akan menjadi punca kehancuran negara,” tegas beliau pada sidang media yang diadakan di Dewan Himpunan Cina, petang semalam.
Beliau berkata lagi, rakyat tidak menolak sebarang pembangunan yang dibuat kerajaan, namun turut menginginkan pembangunan yang memikirkan aspek kesihatan dan kesejahteraan semua pihak.
Turut serta pada sidang media itu Dr. Hamzah Jaaffar (Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang); Tengku Shahadan Tengku Jaafar (Timbalan Yang Dipertua PAS Raub); Tan Kok Wai (ahli parlimen Cheras); dan Ronnie Liu (exco kerajaan negeri Selangor).
Lombong emas Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang telah beroperasi sejak Februari 2009 dikatakan memberi kesan ke atas lebih 300 penduduk berhampiran, khususnya Kampung Bukit Koman, Raub yang mengadu mengalami masalah kegatalan kulit, kesukaran bernafas dan pelbagai kesan lain ekoran penggunaan cyanide pada projek ini