PENDAKWAH bebas Ustaz Akhil Hayy menasihati golongan artis yang baru berhijrah dan kembali mendekati agama Islam supaya berhati-hati agar tidak dipergunakan oleh orang politik yang tidak bertanggungjawab.
Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai berkata, keadaan demikian sering berlaku tanpa disedari dikalangan artis Malaysia yang baru berhijrah di mana ianya bermula dengan jemputan menghadiri sesebuah taklimat untuk berkongsi kisah perubahan diri masing-masing kepada umum.
“Kalau saya cakap, pasti ada pula pihak yang marah nanti. Tetapi ianya pernah berlaku kepada diri saya ketika mula-mula penghijrahan saya dulu di mana ada sesetengah pihak yang menggunakan saya kononnya untuk ditemu bual dalam sesebuah taklimat sahaja.
“Lain pula jadinya apabila majlis taklimat yang dianjurkan tersebut akan berubah menjadi kempen menyerang mana-mana parti politik lain yang tidak disukai mereka.
“Memang kita digalakkan untuk berkongsi pengalaman hijrah kita, kerana ianya juga salah satu cara dan niat dakwah yang baik, tetapi kita mesti bijak menyampaikan kata-kata tanpa sebarang pengaruh daripada persekitaran yang mungkin kearah isu-isu politik,” kata Akhil Hayy.
Tambah Akhil, tidak salah sekiranya seseorang artis itu menyokong mana-mana parti politik sama ada Umno, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau PAS kerana ia adalah hak masing-masing sebagai rakyat Malaysia yang demokrasi.
Bagaimanapun berdasarkan pengalaman yang menimpa, golongan artis yang berhijrah ini diminta agar lebih berhati-hati dan berfikirlah adakah motif penghijrahan itu untuk mendalami ilmu-ilmu agama yang tercicir dahulu atau untuk memperjuangkan politik?
“Pada pandangan saya, usahlah kita beria-ia berkempen tentang hal politik kerana itu bukanlah kepakaran kita dan kita tidak tahu tentangnya.
“Walaupun Islam ada perjuangan politiknya, tetapi sebagai umat Islam yang kembali ke fitrah asal, biarlah kita mendalami semula ilmu agama terlebih dulu sebelum ingin berdakwah atau membetulkan kesalahan orang lain dengan cara kita yang baru.
“Saya faham, apabila sudah berubah ke landasan yang betul, terdapat satu semangat dan ketenangan yang membuatkan seseorang itu begitu berkobar-kobar mahu berkongsi akan perasaan itu.
“Saya juga begitu, tetapi seperti yang saya katakan, dalami ilmu agama Islam itu secukup-cukupnya sebelum melangkah ke fasa lain pula,” ujar Akhil Hayy ketika dihubungi.