KOTA BHARU – Artis jelita berlesung pipit, Noryn Aziz memeriahkan majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2012, disini semalam.
Majlis tersebut diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10, pagi semalam.
Noryn yang hadir bersama suami Raja Datuk Kamarul Bahrin Ahmad Shah, menjadi tumpuan para tetamu jemputan serta penerima sumbangan aidilfitri anjuran Badan Kebajikan Isteri Wakilrakyat dan kakitantan kerajaan Kelantan (Purnama).
Sebanyak RM20,000 peruntukkan dikeluarkan untuk membiayai sumbangan kepada 445 golongan dhaif, armalah, anak yatim di 45 Dun di seluruh Kelantan.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Purnama yang juga isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan isteri-isteri wakil rakyat di peringkat Dun lainnya.
Hadir sama isteri Timbalan Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid, serta isteri-isteri anggota exco kerajaan negeri Kelantan.
Tuan Sabariah ketika berucap pada majlis itu menyeru golongan wanita khususnya, memperbanyakkan amalan baik sepanjang Ramadhan ini.
Beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak leka dengan urusan dunia seperti menyiapkan keperluan berbuka puasa atau hari raya sedangkan lupa tanggungjawab yang sebenar.
“Sebaiknya kita tidak berbelanja boros di Bulan Ramadhan dan alakadar sahaja menyambut Hari Raya nanti,”ujarnya.
Sementara itu, Noryn Aziz ketika ditemui selepas majlis itu melahirkan rasa terkejut kerana beliau juga turut diundang oleh isteri Wakil Rakyat dari Kelantan.
“Memang Noryn sangat terkejut dan tak sangka. Se lepas tanya pendapat suami, Alhamdulillah dia setuju menerima jemputan ini.
“Lagipun Noryn memang sangat kagum dengan Tok Guru Nik Aziz, beliau antara salah satu sebab Noryn berhijrah kerana membaca buku agama tulisan Tok Guru, iaitu berkaitan hidayah,”ujarnya.
Terdahulu ketika berucap pada malis tersebut, beliau menyeru masyarakat di negara ini seluruhnya supaya mendoakan ‘penghijrahannya’ ini.
“Noryn lakukan ini untuk kebaikan diri Noryn sendiri, suami dan keluarga juga,”jelasnya.