JOHOR BAHRU: Laluan papan di Taman Negara Tanjung Piai ditutup kepada pengunjung akibat dilanda ombak besar semalam.
Pengarah Taman Negara Johor, Suhairi Hashim, berkata kejadian itu bagaimanapun tidak menjejaskan operasi taman berkenaan dan ia dibuka kepada orang ramai seperti biasa. "Kami terima laporan malam tadi yang menyatakan ombak tinggi dan arus kuat berlaku di kawasan berkenaan dan kayu hanyut merempuh laluan berkenaan hingga menyebabkan ia beralih daripada kedudukan asal.
"Ia berbahaya untuk kegunaan orang ramai. Kerja membaiki laluan papan sepanjang 100 meter itu sedang dijalankan dan dijangka siap dalam masa seminggu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau, bagaimanapun, berkata orang ramai boleh mengunjungi taman itu dengan menggunakan laluan bakau alternatif.
Laluan papan itu yang merentasi jarak 500 meter di sepanjang pantai, dibuka kepada orang ramai sejak awal Jun.
Taman Negara Tanjung Piai yang meliputi kawasan seluas 926 hektar, adalah bahagian paling hujung di selatan benua Asia. - BERNAMA
Amirul.My
Home »
» Laluan papan Taman Negara Tanjung Piai ditutup